comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] PM bertemu Hamas, kekal pendirian desak henti serangan di Gaza


Oleh: Hilmi Abdul Malik

DOHA: Malaysia akan terus memainkan peranannya di peringkat antarabangsa dalam usaha mendesak serangan di Gaza dihentikan serta merta.

Perkara itu dizahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pertemuan bersama pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di Qatar.

“Saya tegaskan Malaysia akan terus komited memainkan peranannya di peringkat antarabangsa bagi menghentikan serangan ke atas Rafah, sementelahan menggerakkan ikhtiar yang lebih tangkas bagi membantu mangsa peperangan Gaza khususnya dalam aspek bantuan kemanusiaan, perubatan dan pendidikan.

“Malaysia hargai kesediaan Hamas membebaskan tahanan khususnya kanak-kanak dan wanita serta menerima pelan damai dunia Arab, OIC, dan masyarakat antarabangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Pertemuan yang berlangsung kira-kira satu jam itu membincangkan episod penderitaan di Gaza terutamanya Rafah yang kini terus menerima serangan rejim Zionis.

Datuk Seri Anwar bertemu delegasi Hamas yang diketuai pimpinan utamanya, Ismail Haniyeh. – FOTO: Anwar Ibrahim/ Facebook

Turut hadir bekas pemimpin Hamas, Khaled Meshaal.

Pertemuan berkenaan merupakan perjumpaan yang kali pertama sejak Datuk Seri Anwar memegang jawatan Perdana Menteri.

Sebelum ini, Datuk Seri Anwar pernah mengadakan bersama Haniyeh pada 2019 yang ketika itu atas kapasiti sebagai Ketua Pembangkang.

Semalam, Wisma Putra menerusi hantarannya di Facebook menyatakan, Malaysia dan Qatar senada dalam usaha menyegerakan gencatan senjata secara kekal.

Signifikan lawatan Perdana Menteri ke Qatar kali ini juga akan membincangkan kemelut di Asia Barat berikutan Qatar sebagai ‘orang tengah’ yang terlibat dalam proses rundingan damai.

Pada 11 April lalu, Datuk Seri Anwar menghubungi pemimpin utama gerakan Hamas itu selepas tiga ahli keluarganya terbunuh akibat serangan udara rejim Zionis.

Malaysia antara negara yang lantang menyuarakan isu keganasan yang didalangi Israel selain konsisten mengutuk tindakan zalim berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini