PETALING JAYA: Perdana Menteri beriltizam untuk mereformasi ekonomi negara bagi menjulang darjat rakyat sejagat.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu wajib bermula dengan golongan kurang berkemampuan.
Beliau berkata program subsidi bersasar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diumumkan minggu lalu adalah antara langkah besar bagi merealisasikan gagasan itu.
“Saya turun padang ke Mydin di Meru, Ipoh hari ini bagi melihat sendiri kesedaran dan impak SARA yang disasarkan untuk membantu menambah kuasa beli kepada mereka yang memerlukan bagi mendapatkan barang asas dari rangkaian rakan runcit dengan lebih 500 kedai terlibat di seluruh negara.
“Moga ia bermanfaat dan meningkatkan ekonomi negara,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.
Terdahulu, Datuk Anwar meninjau Program Jualan Termurah Khidmat Demi Rakyat di Padang Awam Klebang Restu di Ipoh, Perak hari ini sebelum ke pasar raya Mydin dan kaunter bergerak Lembaga Hasil Dalam Negeri Perak bagi semakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta SARA.
Sebelum ini, Perdana Menteri mengumumkan SARA akan kembali dan bermula secara berperingkat pada 22 Januari lalu, selain memaklumkan ia telah ditambah baik dengan peruntukan melonjak lebih lima kali ganda kepada RM700 juta berbanding RM130 juta pada 2023.