Tumpuan :
Nasional

PM beri peruntukan khas RM80,000 kepada mangsa kebakaran di Tanjung Dawai

Muhammad Kamil (tujuh dari kiri) menyerahkan replika cek peruntukan khas Perdana Menteri membabitkan sumbangan berjumlah RM80,000 kepada mangsa kebakaran yang berlindung di PPS SJKC Choong Cheng, Tanjung Dawai, hari ini. – FOTO NSTP

SUNGAI PETANI: 16 keluarga mangsa kebakaran rumah di Tanjung Dawai Ahad minggu lalu, menerima peruntukan khas Perdana Menteri berjumlah RM80,000.

Sumbangan itu diserahkan oleh Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, kepada ketua isi rumah terbabit di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Choong Cheng, Tanjung Dawai, hari ini.

Muhammad Kamil berkata, setiap keluarga berkenaan menerima sumbangan RM5,000.

Mereka terdiri daripada 14 keluarga mengalami kerugian rumah musnah akibat insiden berkenaan serta dua lagi keluarga yang kediaman terjejas dan turut ditempatkan di PPS.

“Saya dimaklumkan bahawa kita masih menunggu laporan pihak bomba untuk mengetahui lebih lanjut apa punca kebakaran itu.

“Saya diarahkan Perdana Menteri untuk turun berjumpa dengan mangsa serta menyampaikan sumbangan berjumlah RM80,000 kepada 16 keluarga yang terkesan,” katanya.

Muhammad Kamil berkata, mangsa akan berada di PPS itu hingga suatu tempoh yang belum dapat dipastikan.

Beliau berkata, perbincangan turut diadakan dengan pihak pengurusan di PPS untuk melanjutkan tempoh penempatan hingga mangsa dapat berpindah ke kediaman lain yang lebih selesa.

“Saya meminta jawatankuasa penduduk untuk sedaya upaya membantu mangsa mencari penempatan baharu.

“Jika sukar mendapatkannya di kawasan sini, terpaksa keluar jauh sedikit kerana tiada pilihan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini