PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan sebarang dapatan dalam Simposium Kebangsaan Menoktah Kemiskinan 2024 akan diberi pandangan serius Jemaah Menteri.
Jelasnya, ia bagi membolehkan sebarang pelaksanaan langkah berkesan diambil dalam membasmi kemiskinan tegar dan relatif di negara ini.
“Saya hanya boleh beri jaminan, jemaah menteri akan ambil kira pandangan paling serius, kalau sempat hari Rabu Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli rumuskan peringkat awal supaya kita ambil perhatian serius dalam menjadikan ini soal keutamaan. Ini harus kita tumpukan,”jelasnya.
Tambah Anwar, lima ikhtiar yang digariskan dalam simposium itu perlu dijadikan medan bagi semua pihak terlibat melontar idea dalam membantu kerajaan menangani isu terbabit.
“Saya lihat malam tadi agak baik saya harap diedarkan lima ikhtiar itu jadikan bahan perbincangan tapi lontaran idea masalah kemiskinan ini.
“Saya fikir tidak ada kemunasahaban alasan sama sekali untuk Malaysia tidak mampu membebaskan dalam masa sesingkat mungkin kemiskinan tegar dan kemiskinan yang agak di peringkat kebawah.
“Saudara pikul amanah besar, bukan sekadar menunjukkan kehebatan dan kepintaran tapi untuk mengemukakan pandangan supaya puluhan kementerian dan ratusan agensi dapat melihat,” jelasnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Simposium Kebangsaan: Menoktah Kemiskinan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Simposium bertemakan ‘Bersama, Berdaya, Mampan’ itu mengariskan lima ikhtiar digariskan dalam simposium itu; Memantapkan Pemikiran, Mereformasi Dana Menoktah Kemiskinan, Menyepadukan Data, Merubah Sikap dan Pemikiran dan Memperkukuh Tenggang Menoktah Kemiskinan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa