comscore
Tumpuan :
Nasional

PM beri bayangan PRN pada Ogos

NILAI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung di enam negeri kemungkinan diadakan sekitar Ogos.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, PRN selewat-lewatnya akan diadakan pada bulan berkenaan.

“Saya minta kerjasama kawan-kawan semua, bagi sokongan kerana negeri ini akan ada pilihan raya (pada) Ogos. Mesti ada pilihan raya selewat-lewatnya Ogos, mesti pilihan raya,” katanya.

Justeru, beliau menyeru pengundi khususnya di Negeri Sembilan untuk terus memberi mandat kepada PH dan Kerajaan Perpaduan untuk mentadbir dan menerajui negeri berkenaan selepas PRN kelak.

“Jadi, ini negeri (Negeri Sembilan), semua kaum ada. Ini negeri Melayu, India, Cina. Kalau orang datang bawa kempen seolah-olah ini negeri India saja punya ka.. Melayu saja punya ka, dia salah.

“Kita kena jaga negeri ini supaya boleh jaga semua kaum. (Setiausaha Agung DAP), Anthony Loke kata ada orang tunggu (mahu ambil alih kerajaan negeri), dia boleh tunggu.

“Tapi kalau mahu selamat ini negeri, mahu jaga ini negeri, mahu semua kaum kita jaga, kamu (rakyat) mesti jaga PH dan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Anwar berkata, Negeri Sembilan perlu kekal di bawah teraju Kerajaan Perpaduan bagi membolehkan lebih banyak manfaat bantuan serta pembangunan diraih penduduk negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sebelum ini memaklumkan, Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan pada 30 Jun ini bagi memberi laluan kepada PRN.

Setakat ini, DUN Selangor dan Kelantan sudah dibubarkan masing-masing semalam dan kelmarin, sementara DUN Pulau Pinang dan DUN Kedah dijangka dibubarkan Rabu depan.

Bagi Terengganu pula, Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dijangka menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bagi memohon pembubaran DUN minggu depan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menetapkan tarikh hari mengundi bagi PRN di enam negeri terbabit dalam tempoh 60 hari selepas pembubarannya.

Loading...
Terkini