KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Belanda Mark Rutte tiba hari ini untuk lawatan kerja dua hari ke Malaysia.
Pesawat khas yang membawa Rutte dan delegasinya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada jam 3.35 petang.
Ketibaan Rutte disambut Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin yang kemudiannya melintasi barisan kawalan kehormatan statik oleh 28 pegawai dan anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) diketuai Kapten Amirul Akmal Osman.
Rutte dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, esok.
Kedua-dua pemimpin dijangka menilai semula kemajuan hubungan dua hala terutama kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pertukaran budaya, minyak sawit, pertanian, komoditi pertanian dan isu Islamofobia.
Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa berkepentingan bersama.
Rutte juga akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi dan terlibat dalam acara simbolik penanaman pokok sawit yang melambangkan kerjasama erat kedua-dua negara dalam sektor minyak sawit.
Selain itu, Rutte juga dijadual menyampaikan ucaptama dan menyertai sesi dialog bersama Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad pada program Dialog Air Malaysia-Belanda keenam dalam usaha menangani pelbagai isu berkaitan air.
Ini merupakan lawatan kedua beliau ke Malaysia selepas kali terakhir melawat negara ini pada 2014.
Pada 2022, Belanda merupakan rakan dagang ke-14 terbesar Malaysia dan kedua terbesar dalam Kesatuan Eropah (EU) dengan jumlah dagangan sebanyak RM48.04 billion (US$10.93 bilion) peningkatan sebanyak 33.4 peratus berbanding RM36.01 billion (US$8.68 bilion) pada 2021.
Belanda juga merupakan pengimport minyak sawit Malaysia yang terbesar dalam kalangan negara-negara EU dengan kuantiti sebanyak 732,324.54 tan.
Lawatan kerja itu bagi memperkukuh hubungan baik yang terjalin antara Malaysia dan Belanda. – BERNAMA