KUALA LUMPUR: Keputusan Lembaga Pengampunan berhubung permohonan pengampunan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini sedang menjalani hukuman penjara kemungkinan diketahui hari ini.
Perkara itu dimaklumkan sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad di sini.
“I believe so (saya rasa begitu),” katanya ringkas ketika ditanya wartawan sama ada Lembaga Pengampunan akan mengeluarkan kenyataan berhubung keputusan itu hari ini.
Ditanya sama ada keputusan itu akan menjejaskan reputasi Kerajaan Perpaduan pimpinannya, Anwar menjelaskan ia keputusan Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan.
“Itu bawah Lembaga Pengampunan dan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Terdahulu, Anwar memaklumkan kerajaan tidak akan mengumumkan keputusan itu, sebaliknya ia bakal dibuat sendiri Lembaga Pengampunan.
Pada Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta keatas Datuk Seri Najib kerana kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Susulan itu, Datuk Seri Najib memohon untuk mendapatkan pengampunan daripada Lembaga Pengampunan.
Badan itu mengadakan mesyuarat pada Isnin lalu dan dilaporkan membuat keputusan berhubung kes berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.