PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa bangga dengan pimpinan Kerajaan Perpaduan yang dapat mempertahankan dan menghentikan amalan rasuah serta salah guna kuasa.
Beliau berkata, ikhtiar itu antara tekad yang dipegang sepanjang setahun pentabiran Kerajaan Perpaduan dan akan diteruskan sepanjang masa.
“Sepanjang setahun, kita pantau melalui SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), saya bangga kerana keputusan kita, ikut proses tatakelola, ikut tender, bagi amaran yang keras, pimpinan tidak boleh guna kuasa untuk kayakan diri dan keluarga.
“Alhamdulillah, seminggu lalu, ditanya laporan SPRM, LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) serta polis, pimpinan kita dapat pertahan supaya menghentikan amalan salah guna kuasa dan rasuah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Majlis Kesyukuran Sempena Setahun Pentadbiran Kerajaan MADANI di sini, malam ini.
Anwar bagaimanapun menegaskan, masalah membabitkan rasuah di negara ini belum dihapuskan sepenuhnya dan masih berlaku.
“Masalah ini belum selesai sepenuhnya kerana kecurangan ini masih berlaku dan harus kita gempur dengan segala kekuatan yang ada,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Kerajaan Perpaduan akan memulakan corak yang lebih tegas dan pantas dalam mengemudi negara pada tahun kedua pentadbirannya bagi memastikan martabat Malaysia diangkat lebih tinggi.
Perdana Menteri berkata, biarpun pada tahun pertama berdepan situasi terumbang-ambing pada awalnya, kerajaan berupaya melaluinya dengan dasar yang jelas termasuk menyelesaikan masalah asas rakyat.
“Maka percayalah dengan mandat yang ada, tahun (baharu) ini kita akan mula dengan lebih tegas, lebih jelas untuk membangunkan ekonomi negara dan keras menghadapi segala rintangan atau (sebarang) percubaan merosakkan sendi negara kita dengan salah guna kuasa dan rasuah.
“Insya-Allah dengan semangat ditunjukkan pimpinan Kerajaan Perpaduan, kita akan memulakan satu corak yang lebih tegas dan pantas mengemudi negara ini, lebih baik daripada apa yang kita capai dalam tahun lalu (tahun pertama pertadbiran),” katanya.
Selain itu, katanya Malaysia perlu menjadi negara yang bersatu bagi menjamin kesejahteraan dan perpaduan dalam kalangan rakyat.
Jelasnya, hanya dengan perpaduan dan keamanan, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang lebih dihormati.
“Kita tidak boleh jamin masa depan kita dengan selamat, dari Perlis sampai Sarawak, kaum yang berbeza, agama yang berbeza…tidak mungkin negara ini selamat kalau kita memusuhi antara satu sama lain selain guna agama untuk hukum orang sewenangnya.
“Orang mungkin sahaja berbeza pendapat tetapi negara ini mesti diselamatkan daripada fitnah, caci maki, menghukum sewenang-wenangnya sehingga timbul kebencian luar biasa.
“Tak belajarkah daripada pengalaman negara lain, lihat beberapa negara Arab, Afghanistan, Rwanda berkecamuk akibat perpecahan kaum dan agama,” katanya.