Tumpuan :
Nasional

PM bakal dianugerah pingat tertinggi Kerajaan Peru

Duta Besar Malaysia ke Peru, Ahmad Irham Ikmal Hisham.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

LIMA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Lima, Peru pada 13 November ini iaitu lawatan sulung beliau ke rantau Amerika Latin sejak menjawat jawatan tersebut pada tahun 2022.

Duta Besar Malaysia ke Peru, Ahmad Irham Ikmal Hisham berkata, Perdana Menteri juga bakal dianugerahkan pingat tertinggi republik berkenaan, El Sol del Peru pada kemuncak pertemuan dengan Presiden, Dina Ercilia Boluarte Zegarra.

Penganugerahan terbabit adalah sebagai penghormatan tertinggi kepada ketua kerajaan.

“Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Peru bagi membincangkan kerjasama dua hala di antara Malaysia dan Peru. Pertemuan ini bertempat di Istana Kerajaan Peru (Palacio de Gobierno).

“Perkara-perkara yang akan dibincangkan termasuklah status hubungan dua hala, bidang perdagangan dan pelaburan serta meneroka kerjasama baharu dalam industri halal, pembangunan infrastruktur, pendidikan dan budaya bagi mengukuhkan hubungan persahabatan di antara kedua-dua negara,” katanya pada sidang akhbar bersama wartawan Malaysia di sini, hari ini.

Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar pandangan mengenai perkembangan di forum serantau khususnya ASEAN dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Selain itu, beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam bidang gastronomi dan halal dijangka dimeterai.

Ahmad Irham berkata, Perdana Menteri turut dijadual mengadakan perbincangan meja bulat dengan kapten industri Peru bagi mempromosikan peluang perniagaan khususnya dalam sektor tenaga boleh baharu dan industri digital melibatkan wakil syarikat gergasi seperti TikTok dan Google.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri juga dijadual menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-31 dari 14 hingga 16 November ini di Lima.

Bertemakan ‘Empower. Include. Grow.’, AELM di bawah kepengerusian Peru akan memfokuskan kepada pengukuhan hubungan perdagangan dan pelaburan, inovasi, pendigitalan dan pertumbuhan mampan.

Ini adalah kali ketiga Kerajaan Peru menjadi tuan rumah kepada AELM selepas tahun 2008 dan 2016.

“Penglibatan Perdana Menteri di AELM termasuk menghadiri Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) APEC pada 14 November ini yang mana beliau antara seorang ahli panel dalam sesi ‘Opportunities and Challenges in the AI Revolution’,” katanya.

Keesokan hari, Anwar yang juga Menteri Kewangan akan menyertai Dialog Tidak Rasmi Pemimpin APEC dengan Tetamu dan Dialog Pemimpin Ekonomi APEC bersama Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC).

Semasa Sesi Pemukiman AELM pada 16 November pula, Perdana Menteri turut dijadul menyampaikan intervensi Malaysia.

Sepanjang AELM berlangsung, Anwar akan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya dari Ekonomi APEC seperti Jepun dan New Zealand.

“Sebagai antara sebuah ekonomi pengasas APEC, penyertaan aktif Malaysia dalam AELM mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memajukan kerjasama ekonomi, mempromosikan kesejahteraan bersama dan mendorong pembangunan inklusif di seluruh rantau Asia Pasifik,” katanya.

Perdana Menteri juga akan berkongsi keutamaan Malaysia di bawah Kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan keterangkuman, pembangunan mampan dan pengukuhan kerjasama untuk manfaat semua.

Di samping itu, Perdana Menteri akan konsisten mengetengahkan isu-isu Global Selatan dan kepentingan integrasi ekonomi dalam mempertingkatkan pelaburan berimpak tinggi dan perdagangan lestari.

Turut serta dalam lawatan rasmi tersebut, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz; Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Si serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Untuk rekod, jumlah dagangan di antara Malaysia dan Peru dari Januari sehingga Julai lalu dicatatkan sebanyak RM1.16 billion dan meningkat 36.3 peratus berbanding RM847.7 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Antara produk eksport utama ke Peru termasuk kopi, makanan yang diproses serta produk elektrik dan elektronik, manakala produk eksport utama ke Malaysia adalah biji koko.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini