Oleh: Halim Mohamed
SEOUL: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan satu siri mesyuarat bersama tokoh-tokoh korporat dan ahli-ahli perniagaan dengan syarikat gergasi (dikenali sebagai chaebol) di Korea Selatan dalam lawatan rasmi tiga hari ke republik berkenaan bermula hari ini.
Pertemuan berkenaan bertujuan menarik lebih banyak pelaburan langsung asing ke Malaysia serta mengukuhkan hubungan perdagangan di antara Malaysia dan Korea Selatan.
Menurut Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan, Datuk Mohd Zamruni Khalid, lawatan sulung Anwar dijangka berupaya memperkukuh lagi hubungan dua hala melalui persefahaman yang akan termeterai dalam pelbagai isu serantau dan antarabangsa.
“Sekilas pandang, Republik Korea merupakan rakan dagang ketujuh terbesar bagi Malaysia manakala Malaysia merupakan rakan dagang ke-11 terbesar bagi Republik Korea. Jumlah pelaburan RM61 bilion dengan 616 projek.
Perdana Menteri yang dijadual tiba malam ini (waktu tempatan) akan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang dan Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang.
Lawatan rasmi itu adalah atas jemputan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol.
Anwar turut dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Yoon di Pejabat Presiden republik itu di Yongsan esok.
Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan beberapa perkara yang merangkumi kerjasama dua hala dalam bidang ekonomi merangkumi perdagangan, pelaburan, kerjasama dalam bidang pertahanan dan keselamatan.
Turut dibincangkan, kerjasama dalam bidang infrastruktur, transisi tenaga dan alam sekitar, bidang pertanian dan makanan, dan pengukuhan hubungan rakyat meliputi pendidikan, pertukaran kebudayaan dan sektor pelancongan.
Lawatan itu juga akan menyaksikan empat pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) daripada kedua-dua negara dalam pelbagai bidang yang terdiri daripada Kerjasama dalam Pendekatan Kerjasama di bawah Artikel 6, Perenggan 2 Perjanjian Paris, Kerjasama dalam sektor pemerangkapan dan penyimpanan karbon (carbon capture and storage – CCS) dan Kerjasama dalam sektor pendidikan tinggi.
Selain itu, Perdana Menteri dijadual memberi ucapan dalam forum perniagaan yang dijangka dihadiri delegasi perniagaan melibatkan lebih 180 syarikat di Republik itu.
Menurut Ahmad Zamruni lagi, Anwar turut dijadual bertemu dengan Presiden Korea Muslim Federation (KMF), sebuah badan rasmi yang diiktiraf sebagi badan induk untuk mewakili masyarakat Islam di Republik Korea.
“Selain menyantuni KMF, peluang tersebut juga turut digunakan untuk menyumbang naskhah Al-Quran dengan terjemahan Bahasa Inggeris dan Bahasa Korea untuk kegunaan KMF.”
Anwar juga dijadualkan untuk menyampaikan syarahan umum khas yang bertajuk Strategic Partners in a Complex World: Malaysia, Korea, and the Future of Asia di Universiti Kebangsaan Seoul (SNU) yang merupakan sebuah universiti tempatan terunggul di Korea Selatan.
Syarahan tersebut dijangka dihadiri kumpulan pelajar Malaysia, tempatan dan antarabangsa, pengurusan tertinggi universiti, ahli-ahli akademik, penyelidik dan cendekiawan.
Perdana Menteri dijadual untuk berlepas pulang ke tanah air pada sebelah petang 26 November selepas program syarahan umum di SNU.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.