Oleh: Afrina Romzi
BEIJING: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal membuat kunjungan hormat ke atas Presiden China, Xi Jinping petang ini.
Pertemuan itu bakal menamatkan lawatan kerjanya ke China yang berakhir di sini, selepas tiga hari di Shanghai.
PM Anwar tiba di Pusat Taklimat Eksekutif Huawei di Beijing.
Beliau disambut Pengerusi Huawei Liang Hua sebelum mengadakan mesyuarat peringkat tinggi dengan eksekutif kanan Huawei.@BuletinTV3 pic.twitter.com/zKLY8w5Hc9
— Afrina Romzi (@AfrinaNewsMPB) November 7, 2024
Anwar memulakan harinya dengan libat urus bersama China International Capital Corp.
Sejurus selepas itu, beliau akan mengunjungi Pusat Taklimat Eksekutif Huawei dan menyertai mesyuarat peringkat tinggi dengan eksekutif kanan Huawei.
Beliau juga dijadual menyampaikan syarahan terbuka di Universiti Peking yang bertajuk ‘Memperkukuh Masa Hadapan: Malaysia-China dan Pemusatan ASEAN dalam Peralihan Perintah Global’.
Kemuncak kepada lawatan kerja di China itu adalah kunjungan hormat Perdana Menteri ke atas Presiden Xi Jinping di The Great Hall of People Beijing sekitar jam 5.30 petang, hari ini.
Sesi kunjungan hormat dijadual berlangsung selama 40 minit sebelum Presiden Xi menganjurkan majlis makan malam yang disertai Anwar.
Sebelum ini, Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad berkata majlis makan malam yang dianjurkan oleh President Xi merupakan satu penghormatan besar buat Datuk Sei Anwar dan delegasi Malaysia.
Usai majlis makan malam, Perdana Menteri dijadual berlepas pulang ke Kuala Lumpur sekitar pukul 8 malam, waktu tempatan.
Lawatan kerja Datuk Seri Anwar ke China dari 4 hingga 7 November adalah yang ketiga sejak beliau menjawat jawatan Perdana Menteri, dan ia atas jemputan rakan sejawatnya Li Qiang bagi menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China ketujuh (CIIE ke-7) di Shanghai.
Datuk Seri Anwar diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz serta Menteri Sumber Manusia Steven Sim.
CIIE merupakan inisiatif Kerajaan China yang menyediakan satu platform untuk negara-negara yang terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan bagi mempromosi dan mengeksport barangan dan perkhidmatan ke China.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.