comscore
Tumpuan :
Nasional

PM arah sekolah jadi PPS diberikan kelonggaran cuti tambahan

ALOR SETAR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS), diberikan kelonggaran cuti tambahan hingga keadaan banjir benar-benar pulih.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, guru terbabit diminta menyediakan bahan pembelajaran untuk pelajar dan kerja rumah yang perlu disiapkan mereka sebelum sekolah kembali dibuka nanti.

Bagi pelajar Tingkatan Lima pula, beliau berkata, mereka perlu terus hadir ke sekolah kerana terbabit dalam persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Mengenai sesi persekolahan, saya serahkan kepada Menteri Pendidikan. Namun, pelajar Tingkatan Lima harus kekal di sekolah.

Anwar beramah mesra dengan mangsa banjir ketika melawat PPS SMKA Kedah, hari ini. – FOTO: NSTP

“Untuk sekolah yang terbeban kerana dijadikan penempatan (mangsa) banjir, tentunya menteri akan memberi sedikit kelonggaran untuk cuti tambahan kepada pelajar.

“Namun, saya tekankan ia bukan cuti kerana guru perlu membekalkan pelajar dengan kerja rumah… kena ada saluran menyampaikan pembelajaran.

“Saya tidak mahu masa pelajar itu menjadi cuti sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas melawat PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kedah, di sini, hari ini.

Untuk rekod, sejumlah 42 PPS masih dibuka dengan 37 daripadanya adalah sekolah, bagi menempatkan seramai 7,469 mangsa banjir di enam daerah seluruh Kedah ketika ini.

Sekolah di negeri ini sepatutnya kembali dibuka, esok, selepas cuti pertengahan penggal yang bermula 13 September lalu tamat hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini