Tumpuan :
Nasional

PM arah projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah disegerakan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pembinaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah dipercepatkan bagi memenuhi janji kepada rakyat negeri itu.

Jelasnya, kemajuan projek itu amat perlahan berbanding di Sarawak.

Anwar berkata, Timbalan Perdana Menteri 2, Datuk Seri Fadillah Yusof  ditugaskan untuk memastikan pembinaan lebuh raya itu tidak lagi tertangguh.

“Saya sudah memberitahu Kementerian Kewangan dan dipersetujui untuk ‘fast track’ (disegerakan). Asalkan ada proses perolehan dan tender, kita lakukan ‘fast track’ di kawasan Sabah.

“Ini disebabkan projek Pan Borneo ini sudah berpuluh tahun tertangguh dan peruntukan ada. Jadi, oleh kerana kita sudah janji kepada rakyat Sabah dan Sarawak, tiada alasan untuk kita lengahkan.

“Selain itu, dalam Kembara (Kenali Borneo) Yang di-Pertuan Agong, perkara yang dibangkitkan setiap kali baginda berhenti di mana-mana pusat, soal yang ditanya adalah mengenai Pan Borneo lebih bermasalah di Sabah dan keduanya, jalan yang teruk.

“Kadangkala, peruntukan disampaikan tetapi kelewatan dalam pelaksanaan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Semporna) mengenai kelewatan projek Pan Borneo Sabah, berbanding di Sarawak yang sudah hampir siap.

Turut dibangkitkan masalah bekalan air yang berterusan disebabkan isu ketirisan.

Loading...
Terkini