Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diminta untuk bekerjasama pantas untuk menyelesaikan isu capaian internet terutama di institut pengajian tinggi awam (IPTA).
Menurut Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, arahan itu dikeluarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikannya hari ini.
“Ada beberapa perkara melibatkan pengurusan di kampus-kampus di bawah IPTA yang mana ada setengah IPTA, mereka mempunyai vendor yang menyediakan internet mereka sendiri.
“Perkara ini Perdana Menteri telah minta untuk dipercepat dan diuruskan dengan segera memandangkan banyak daripada kampus ini akan mula beroperasi dengan semester baharu dalam masa yang tidak terlalu lama (lagi),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan pasca mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.
Menteri Komunikasi itu berkata, isu capaian internet sekali lagi dibangkitkan hari ini setelah ditekankan Perdana Menteri pada mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (MED4IR) minggu lalu.
Susulan itu, Fahmi memaklumkan, beliau dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir akan menguruskan isu berkenaan dengan segera.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.