KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Khazanah Nasional Berhad untuk melakukan audit dalaman bagi menyiasat isu kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta baru-baru ini.
Perkara itu dimaklumkan Anwar yang juga Pengerusi Khazanah dalam satu entri terbaharu di laman X hari ini.
“Selaku Pengerusi, saya telah mengarahkan Khazanah Nasional Berhad untuk melakukan audit dalaman bagi menyiasat permasalahan terkait kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta baru-baru ini.
“Arahan tegas ini adalah sebagai memaknai pengumuman saya sebelum ini yang mengarahkan Jabatan Audit Negara (JAN) melakukan pengauditan terhadap 2,000 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi mewujudkan sistem tadbir urus yang lebih baik, selain memastikan semua syarikat berkenaan memenuhi tuntutan tanggungjawab dan fungsi masing-masing,” jelasnya.
Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis Parlimen bertarikh 28 Oktober lalu memaklumkan, nilai saham Khazanah dan PNB dalam syarikat jenama fesyen tempatan Fashion Valet telah menurun hampir RM44 juta apabila perniagaan itu dijual pada 2023 berbanding pelaburan yang dibuat pada 2018.
Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam platform e-dagang fesyen, Fashion Valet kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023.
Untuk rekod, pada 2018 Khazanah telah mengeluarkan RM27 juta dan PNB sebanyak RM20 juta bagi memperoleh pegangan minoriti dalam syarikat terbabit sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan perniagaan bumiputera dalam sektor e-dagang.
Bagaimanapun, syarikat terbabit jelas Kementerian Kewangan dilanda masalah kewangan semasa pandemik COVID-19.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.