comscore
Tumpuan :
Nasional

PM arah kementerian teliti aspek pemerkasaan Pusat Data, AI

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan dengan syarikat teknologi gergasi, Google yang diketuai Ketua Global, Hal Ehwal Kerajaan & Dasar Awamnya, Karan Bhatia.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

LIMA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan kementerian berkaitan untuk mengambil tindakan segera untuk melihat aspek pemerkasaan undang-undang dan peraturan berkaitan Pusat Data dan Kecerdasan Buatan (AI).

Menurutnya, ia bagi memastikan kesan negatif termasuk ketirisan data dapat dikawal.

“Aspek pemerkasaan ekosistem AI dan Pusat Data perlu diberi perhatian sewajarnya lebih-lebih lagi mengenai soal peraturan dan undang-undang yang berkaitan bagi mengelakkan berlakunya ketirisan data serta ekploitasi ke arah keburukan,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan dengan syarikat teknologi gergasi, Google yang diketuai Ketua Global, Hal Ehwal Kerajaan & Dasar Awamnya, Karan Bhatia.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan perbincangan dengan syarikat teknologi gergasi, Google yang diketuai Ketua Global, Hal Ehwal Kerajaan & Dasar Awamnya, Karan Bhatia.

Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Pada Mei lalu, Google menyatakan komitmen untuk melabur RM9.4 bilion (AS$2 bilion) untuk mewujudkan pusat data pertama dan wilayah Google Cloud di Malaysia dengan Elmina Business Park milik Sime Darby Property Bhd di Greater Kuala Lumpur menjadi destinasi pilihan.

Komitmen pelaburan baharu Google itu dijangka menyokong 26,500 pekerjaan merentasi pelbagai sektor di Malaysia termasuk penjagaan kesihatan, pendidikan dan kewangan dengan jumlah impak ekonomi bernilai RM15.04 bilion (AS$3.2 bilion).

Wilayah Google Cloud di Malaysia akan menyertai 40 wilayah dan 121 zon yang kini beroperasi di seluruh dunia bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan awan di peringkat tempatan dan global, selain program celik AI untuk pelajar serta pendidik Malaysia.

Perdana Menteri berada di ibu negara Peru sempena lawatan rasmi sulungnya ke rantau Amerika Latin, selain menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-31 yang berlangsung dari 14 hingga 16 November ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini