Tumpuan :
Nasional

PM Anwar ucap takziah mangsa kebakaran hutan di Los Angeles

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada mangsa kebakaran hutan di California Selatan, Amerika Syarikat, yang telah meragut nyawa dan memusnahkan lebih 1,000 bangunan, memaksa ribuan keluarga berpindah.

Beliau menyifatkan tragedi itu sebagai satu kehilangan besar yang turut dirasai oleh rakyat Malaysia.

Anwar turut menekankan kesan besar bencana tersebut terhadap komuniti terlibat, sementara pihak berkuasa dan pasukan kecemasan terus bertungkus-lumus memadamkan kebakaran.

“Malaysia menyatakan solidariti bersama rakyat dan kerajaan Amerika Syarikat pada waktu sukar ini.

“Kami bersama mereka yang terjejas, serta anggota perkhidmatan kecemasan yang berani berhadapan dengan bahaya dalam usaha memadamkan kebakaran,” kata kenyataan itu.

Dilaporkan, sekurang-kurangnya lima nyawa terkorban, sementara lebih 1,000 bangunan musnah dalam kebakaran hutan yang melanda sekitar Los Angeles, memaksa puluhan ribu penduduk meninggalkan kediaman mereka.

Kebakaran itu berpunca daripada ribut angin kencang serta kemarau melampau, mengakibatkan api merebak dengan cepat ke kawasan utara dan barat laut Los Angeles.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini