KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat ulang tahun kepada Presiden Timor-Leste, Dr. Jose Ramos-Horta.
Dalam status yang dimuat naik di Facebook miliknya, Anwar memuji Ramos-Horta sebagai seorang sahabat baik dan individu sejati dalam memperjuangkan kebebasan serta keadilan.
“Ucapan selamat sejahtera yang ikhlas saya tujukan kepada anda dan rakyat Timor-Leste untuk tahun yang penuh kegembiraan. Semoga persahabatan antara negara dan rakyat kita terus berkembang,” kata Anwar.
Dalam satu klip pendek, Anwar berkata bahawa hari istimewa Ramos-Horta kebetulan jatuh pada masa yang sama dengan perayaan besar Krismas dan Tahun Baharu.
“Anda telah menjadi seorang pejuang yang hebat dan tidak mengenal penat lelah dalam memperjuangkan kebebasan dan keadilan.
“Saya mendoakan yang terbaik untuk anda dan negara Timor-Leste. Terima kasih sekali lagi, semoga anda diberkati dan Selamat Tahun Baharu,” kata beliau.
Pada 4 Sept, Ramos-Horta berkata bahawa keanggotaan ASEAN akan menjadi kenyataan apabila Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN tahun depan.
Ia berikutan Malaysia terus menjadi penyokong kuat usaha negara yang kaya dengan sumber itu untuk menyertai kelompok serantau yang berkuasa tersebut.
Malaysia telah menyokong kemajuan Timor-Leste sejak kemerdekaannya pada 2002, dengan membantu dalam aspek keselamatan, sumber manusia, dan pembinaan kapasiti institusi. – BERNAMA