comscore
Tumpuan :
Nasional

PM Anwar tinjau persiapan akhir Belanjawan 2025

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memasukkan dokumen rasmi Belanjawan 2025 ke dalam beg fail berwarna hitam dengan corak tenunan songket Kelantan.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa meninjau persiapan terakhir Belanjawan 2025 di Kementerian Kewangan (MoF), di sini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan tiba pada kira-kira 9.40 pagi disambut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Sejurus tiba, Anwar bergambar bersama pengurusan tertinggi MoF di lobi sebelum merakamkan momen dengan 213 pegawai perbendaharaan yang terlibat dalam penyediaan Belanjawan 2025 terdiri daripada Pasukan Cukai, Pasukan Fiskal dan Ekonomi serta Pasukan Pejabat Belanjawan Negara.

Anwar merakamkan momen dengan 213 pegawai perbendaharaan yang terlibat dalam penyediaan Belanjawan 2025 terdiri daripada Pasukan Cukai, Pasukan Fiskal dan Ekonomi serta Pasukan Pejabat Belanjawan Negara.

Pasukan lain termasuk Pasukan Belanjawan 2025, Pasukan Infografik, Pasukan Terjemahan, Pasukan ‘Gear Up’ dan Pasukan Portal Manfaat.

Perdana Menteri kemudian mengadakan sesi lawatan ke ruang operasi Belanjawan 2025 di Dewan Utama dan menandatangani dokumen berkaitan.

Beliau seterusnya memasukkan dokumen rasmi Belanjawan 2025 ke dalam beg fail berwarna hitam dengan corak tenunan songket Kelantan.

Ketika tinjauan kira-kira 30 minit itu, Anwar turut beramah mesra dengan kakitangan MoF.

Pada 7 Oktober lalu, Perdana Menteri telah menandatangani dokumen rasmi Belanjawan 2025 dan menyatakan keyakinan terhadap belanjawan itu.

Beliau sebelum ini dilaporkan berkata, Belanjawan 2025 akan memberi tumpuan kepada isu inflasi dan menaikkan tahap pendapatan.

Menurutnya, isu kos sara hidup sentiasa menjadi kebimbangan rakyat dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memberikan keselesaan kepada rakyat yang terkesan.

Selain itu, katanya, lebih banyak pembaikan kepada struktur ekonomi akan diperkenalkan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat dapat dikongsi dengan rakyat terbanyak secara saksama.

Anwar akan membentangkan Belanjawan 2025 pada 4 petang esok di Parlimen.

Dengan tema “Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera,” ia adalah belanjawan ketiga oleh kerajaan MADANI di bawah pimpinan Anwar dan yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini