Oleh: Afrina Romzi
SHANGHAI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Shanghai sempena lawatan kerja ke China dari 4 hingga 7 November ini, atas jemputan rakan sejawatnya Li Qiang bagi menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) ke-7.
Pesawat khas yang membawa beliau mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Shanghai Hongqiao pada pukul 9.50 malam waktu tempatan.
Ketibaan Anwar yang juga Menteri Kewangan disambut oleh Timbalan Datuk Bandar Shanghai dan Setiausaha Parti Daerah Minhang, Chen Yu Jian dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.
Turut hadir, Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad dan Konsul Jeneral Malaysia di Shanghai, Syed Farizal Aminy Syed Mohamad.
Anwar diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz serta Menteri Sumber Manusia Steven Sim.
Ia merupakan lawatan ketiga Anwar ke China sejak menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia pada November 2022, dengan kali pertama lawatan kerja ke republik ini adalah pada Mac 2023 sebelum diteruskan pada September 2023.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.