comscore
Tumpuan :
Nasional

PM Anwar tiba di Istanbul untuk bertemu Presiden Turkiye

Foto: Ihsan Fath Rizal/Pejabat Perdana Menteri

ISTANBUL: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini untuk lawatan kerja dua hari ke Turkiye dan dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan, hari ini.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada jam 10.45 malam tadi waktu tempatan (pukul 3.45 pagi Ahad waktu Malaysia).

Foto: Ihsan Fath Rizal/Pejabat Perdana Menteri

Beliau diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan.

Ketibaan Perdana Menteri disambut Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal, Menteri Penasihat dari Kedutaan Besar Malaysia di Ankara, Clara Soon May Lynn dan Ahmad Hashim Mahmood, serta Atase Pertahanan Malaysia, Kol Mohd Edafi Daud.

Menyambut ketibaan bagi pihak Turkiye ialah Timbalan Gabenor Istanbul, Şevket Atlı, Komander Gendermarie, Kol Mesut Maden dan Ketua Jabatan Pejabat Kementerian Luar Istanbul, Mehmet Zait Uzun.

Tumpuan pertemuan dengan Erdogan dijangka membincangkan mengenai kebimbangan konflik Israel-Palestin yang semakin meningkat sehingga mengakibatkan ribuan nyawa terkorban sejak 7 Oktober lalu.

Selepas pertemuannya dengan Presiden Erdogan, Anwar dijadual ke Kaherah, Mesir untuk bertemu Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi dan berbincang mengenai pembukaan laluan sempadan Rafah untuk membolehkan penyaluran bantuan makanan, minuman dan perubatan ke Palestin.

Sementara itu, Wisma Putra dalam kenyataannya memaklumkan, lawatan kerja ke Turkiye dan Mesir mencerminkan komitmen Malaysia yang tidak berbelah bahagi mengenai isu Palestin, khususnya bagi meringankan penderitaan dan kesengsaraan dialami rakyat Palestin akibat krisis di Semenanjung Gaza yang masih berterusan.

Anwar baru sahaja menamatkan lawatan kerja dua harinya ke Riyadh, bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang diadakan buat pertama kali sejak kedua-dua blok serantau itu menjalin hubungan pada 1990. – BERNAMA

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini