comscore
Tumpuan :
Nasional

PM Anwar menuju Parlimen untuk bentang Belanjawan 2025

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkan bangunan Kementerian Kewangan (MoF) kira-kira jam 3.15 petang untuk ke Parlimen bagi membentangkan Belanjawan 2025.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkan bangunan Kementerian Kewangan (MoF) kira-kira jam 3.15 petang untuk ke Parlimen bagi membentangkan Belanjawan 2025.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berpakaian baju Melayu lengkap berwarna kelabu dan bersamping diiringi Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Mencuri tumpuan, beg fail berwarna hitam dengan corak tenunan songket bersulam benang emas yang berisi teks ucapan Belanjawan 2025 yang dibimbit Ahli Parlimen Tambun itu.

Kerja seni tenunan songket beg fail tersebut dihasilkan oleh pereka tempatan, Adiguru Rasiah Yusoff dari Kampung Tikat Penambang, Kelantan manakala beg direka oleh Chew Kai Hung dari Pulau Pinang.

Selain tenunan songket di bahagian luar, beg tersebut turut menerapkan kombinasi saree bagi lapisan dalam.

Terdahulu, sebelum memulakan perjalanan, Pegawai Hal Ehwal Islam MoF, Mohamad Zukrillah Ismail mengetuai bacaan doa bagi mendapatkan keberkatan.

Ditanya sama ada belanjawan negara kali ini ada memberikan berita baik kepada golongan M40, Anwar hanya mengangkat ibu jari menunjukkan tanda bagus sambil tersenyum.

Beliau dijadual membentangkan Belanjawan 2025 bertemakan ‘Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera” di Dewan Rakyat pada jam 4 petang ini yang akan disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan dan media sosial.

Belanjawan 2025 memberi fokus kepada tiga aspek iaitu “Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat”.

Ini adalah belanjawan ketiga oleh Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Anwar dan yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.

Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 yang bakal dibentangkan di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul akan dibahaskan di peringkat dasar selama lapan hari bermula Isnin ini (21 Oktober) sebelum sesi jawapan oleh menteri selama empat hari bermula 6 November.

Berdasarkan Takwim Persidangan Dewan Rakyat, Ahli Parlimen kemudian akan membahaskan Rang Undang-Undang itu di peringkat Jawatankuasa selama 12 hari bermula 13 November.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini