Tumpuan :
Nasional

Kuasa veto PBB diharamkan dalam isu kekejaman besar-besaran – PM

Oleh: Syafiqah Damanhuri

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa penggunaan kuasa veto dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diharamkan untuk isu yang melibatkan kekejaman besar-besaran.

Tegasnya, penggunaan kuasa itu menghalang Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk membuat keputusan sekali gus tidak memenuhi mandatnya.

“Kuasa veto telah melumpuhkan Majlis Keselamatan itu, sementara kekurangan perwakilan dari Afrika dan Amerika Latin mencerminkan era lapuk.

“Daripada menjadi ‘alat’ untuk tindakan, majlis itu terlalu sering menjadi instrumen kebuntuan. Kita melihat akibatnya di tempat-tempat seperti Gaza, penganiayaan terhadap Rohingya, dan dalam peperangan di Ukraine.

“Justeru, sehingga kuasa veto dapat dihapuskan, kita mesti menetapkan peraturan yang jelas mengenai penggunaannya.

“Veto harus dilarang dalam kes-kes kekejaman besar-besaran, dan memerlukan sokongan lebih luas daripada kedua-dua ahli tetap dan tidak tetap, serta tertakluk kepada pengesahan oleh Perhimpunan Agung PBB melalui majoriti mudah.

“Beginilah cara kita bergerak ke arah sistem yang lebih adil dan bertanggungjawab – satu sistem yang menegakkan keadilan dan Tindakan,” ujarnya dalam ucaptama pada Program Common Action Forum 2024, di sini.

Sebelum ini ketika menyampaikan pendirian Malaysia pada sesi Reformasi Institusi Tadbir Urus Global di Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) di Rio De Janeiro, Perdana Menteri turut mengusulkan reformasi menyeluruh dalam tadbir urus global dengan penekanan terhadap peningkatan perwakilan dan penghapusan kuasa veto UNSC.

Beliau turut menegaskan bahawa sistem semasa tidak mencukupi untuk menangani cabaran dunia yang berubah dengan pesat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini