comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] PM Anwar, Kishida adakan pertemuan perkukuh hubungan Malaysia-Jepun

PUTRAJAYA :  Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat daripada rakan sejawatnya dari Jepun, Fumio Kishida bagi membincangkan kerjasama untuk memperkukuh hubungan dua hala.

Kishida tiba di Seri Perdana pada jam 10 pagi dan disambut oleh Anwar .

Foto: Tangkap layar video PMO

Beliau kemudiannya diperkenalkan kepada barisan menteri Kabinet yang hadir iaitu Menteri Ekonomi Rafizi Ramli; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Sejurus itu, kedua-dua pemimpin negara memulakan pertemuan untuk menilai kemajuan hubungan dua hala terutama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pertahanan, alam sekitar dan keselamatan tenaga serta informasi dan komunikasi.

Foto: Anwar Ibrahim/Facebook

Anwar dan Kishida juga dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama termasuk konflik Palestin-Israel.

Kedua-dua pemimpin dijadual mengadakan sidang media bersama pada jam 12 tengah hari.

Malaysia dan Jepun meningkatkan hubungan  daripada Rakan Strategik Dipertingkat kepada Rakan Strategik penuh pada 2015 ketika Kishida melawat Malaysia sebagai Menteri Luar.

Foto: Anwar Ibrahim/Facebook

Jepun adalah rakan dagang keempat terbesar Malaysia sejak 2015.

Setakat Jun 2023, sebanyak 2,778 projek oleh syarikat Jepun telah dilaksanakan di Malaysia dengan nilai pelaburan berjumlah RM91.89 bilion (AS$27.43 bilion).

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini