![](https://media.buletintv3.my/2025/02/ADAM-ADLI.jpg)
JASIN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menzahirkan simpati serta dukacita terhadap kejadian kebakaran yang mengorbankan lima nyawa di Kampung Berangan Enam, Umbai di sini, kelmarin.
Perkara itu dinyatakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abdul Halim, ketika menziarahi satu-satunya mangsa yang terselamat dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, Muhamad Khairuddin Sa’ari.
Adam Adli turut menghubungi Dr Wan Azizah dan kemudian berbual dengan Muhamad Khairuddin menerusi panggilan telefon.
“Reda ya, semua kita pinjaman, tolong ya. Reda, Allah takkan uji kita lebih daripada kita boleh tahan, kuatkan semangat,” katanya menerusi panggilan telefon itu.
Kejadian itu meragut nyawa isteri Muhamad Khairuddin, Laila Fathinah Mustapa, 35, dan empat anaknya iaitu Nur Damia Batrisyia, 13; Izz Daffa, 7; Nur Dalilah Khadijah, 6 dan Izz Danish Fathi, 4.
Laila Fathinah turut disahkan hamil lima bulan.
Muhamad Khairuddin yang patah kaki kanan akibat kemalangan jalan raya hujung bulan lalu, terselamat selepas dikatakan keluar menerusi tingkap.
Jenazah lima beranak itu masih menjalani proses bedah siasat dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) di Hospital Jasin dan dijangka boleh dituntut waris mereka minggu depan.
Sementara itu, Adam Adli turut menyampaikan sumbangan kepada Muhamad Khairuddin.
“Saya berharap Muhamad Khairuddin sentiasa tabah serta mendoakan semoga roh mereka yang terkorban itu dicucuri rahmat Allah SWT,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- 5 beranak rentung dalam kebakaran di Umbai
- Kebakaran di Umbai: TYT Melaka lawat kediaman 5 sekeluarga rentung
- Kebakaran di Umbai: Jiran dengar jeritan mangsa minta keluarga selamatkan diri
- Kebakaran di Umbai: 5 sekeluarga rentung, Kerajaan Melaka zahir dukacita
- Kebakaran di Umbai: Wanita rentung hamil 5 bulan
- Kebakaran di Umbai: JKM salur khidmat psikologi kepada mangsa terselamat