Tumpuan :
Nasional

PM Anwar doakan umat Islam diberi kekuatan, takwa di bulan Ramadan

FOTO: Anwar Ibrahim/ Facebook

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan agar umat Islam di Malaysia diberikan kekuatan dalam menghayati ibadah sepanjang bulan Ramadan, selain menegaskan kepentingan tarbiah rohani dan keinsafan dalam mengharungi bulan penuh keberkatan itu.

Menerusi hantaran di media sosial, beliau menyifatkan Ramadan sebagai medan pembentukan jiwa yang bukan sahaja mendidik dan menguji setiap individu, tetapi juga menyucikan hati dan akal.

“Di saat dunia dirempuh kegelisahan materialisme dan kehampaan spiritual, cahaya Ramadan hadir sebagai penyuluh yang menerangi hati dan akal,” katanya.

Anwar turut mengingatkan umat Islam mengenai kepentingan menzahirkan keimanan dan pengharapan kepada Allah SWT.

Selain itu, beliau menekankan dimensi sosial Ramadan yang menuntut umat Islam lebih prihatin terhadap masyarakat yang kurang bernasib baik, khususnya mereka yang masih menderita akibat peperangan dan bencana.

“Ketika kita memiliki kesempatan beribadah, ada saudara kita yang masih berlindung di bawah runtuhan batu dan terus menjadi mangsa peluru tidak bermata,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, falsafah tertinggi Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga menundukkan keangkuhan, menolak kezaliman serta meredam ketamakan.

“Ia adalah latihan ketundukan, bukan hanya kepada syariat Allah SWT tetapi kepada hakikat bahawa kita makhluk yang lemah dan Tuhan itu Maha Segala,” katanya.

Beliau turut menyeru umat Islam agar menjauhi pembaziran dan sentiasa berusaha kembali kepada Allah SWT dengan memohon keampunan dalam setiap sujud, agar memperoleh keberkatan dan kesejahteraan sepanjang Ramadan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini