Tumpuan :
Nasional

PM akan umum perincian isu pengagihan gas di Sarawak

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg ditemui pada Persidangan TVET Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMB-EAGA) Ke-4, di Kuching, hari ini.

Oleh: Kadir Edison

KUCHING: Perincian formula berkaitan penyelesaian isu pengagihan gas di Sarawak di antara Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dengan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perbincangan mengenai perkara itu sudah dilakukan olehnya bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan baru-baru ini.

Justeru, beliau menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk membuat pengumuman rasmi mengenai perkara ini sekali gus menoktahkan spekulasi mengenai perbincangan isu terbabit.

“Tunggulah, saya dah sebut baru-baru ini ia dalam masa yang terdekat.

“Saya telah minta Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang mengumumkannya, jadi tunggulah pengumuman daripada beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan TVET Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMB-EAGA) Ke-4, di sini hari ini.

Semalam, menerusi satu wawancara bersama stesen televisyen tempatan, Premier Sarawak itu dilaporkan berkata isu pengagihan gas berkenaan sudah boleh dianggap selesai sementara menanti pengumuman sebenar yang akan dibuat Perdana Menteri.

Jelasnya, isu berkenaan hanya melibatkan sudut perundangan iaitu Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) yang dirujuk Petronas dan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 yang dikuatkuasakan oleh Sarawak dapat diwujudkan secara bersama.

Julai lalu, Sarawak memberi tempoh lanjutan tiga bulan kepada PETRONAS untuk memuktamadkan susunan penyeliaan pengagihan gas di negeri itu dengan PETROS.

Ia selepas Sarawak memutuskan syarikat petroleum milik kerajaan negeri berkenaan mengambil alih peranan semua aktiviti jual beli gas asli di wilayah terbabit bermula 1 Julai lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini