KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan keluarga mendiang Teoh Beng Hock dalam masa terdekat, untuk meneliti memorandum yang ingin diserahkan kepada kerajaan hari ini.
Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri dalam hantaran di platform X.
Tambahnya, beliau mengambil maklum mengenai perkara yang berlaku di luar Parlimen pagi tadi.
Siang tadi, sekumpulan aktivis termasuh ahli persatuan Teoh Beng Hock disekat menghampiri bangunan Parlimen untuk menyerahkan memorandum kepada kerajaan.
Mereka dihalang anggota polis dan RELA kira-kira 100 meter sebelum pagar Parlimen.
Memorandum itu antara lain menuntut keadilan untuk mendiang dan undang-undang yang mengehadkan masa soal siasat seseorang oleh pihak berkuasa.
Pada 2009, Teoh, yang ketika itu pembantu politik kepada seorang ahli Exco Kerajaan Selangor ditemui maut di tingkat 5 Plaza Masalam, Shah Alam beberapa jam selepas hadir untuk disoal siasat di ibu pejabat SPRM negeri tingkat 14 bangunan itu.
Pada 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja mendapati mendiang didorong membunuh diri berikutan siasatan SPRM.
Bagaimanapun pada 2014, mahkamah rayuan memutuskan kematian Teoh disebabkan perbuatan orang yang tidak dikenali.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa