comscore
Tumpuan :
Nasional

PM akan hadir Majlis Pelantikan Presiden, Naib Presiden Indonesia

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke Indonesia dari 19 hingga 20 Oktober atas undangan Kerajaan Indonesia untuk menghadiri Majlis Pelantikan Prabowo Subianto sebagai Presiden kelapan dan Gibran Rakabuming Raka sebagai Naib Presiden.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar memaklumkan Anwar juga dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden baharu itu.

Anwar akan diiringi oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta pegawai kanan dari Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar.

Prabowo menggantikan Joko Widodo, lebih dikenali sebagai Jokowi, yang berkhidmat sebagai Presiden Indonesia ketujuh selama dua penggal (2014-2019 dan 2019-2024).

Gibran merupakan anak sulung kepada Presiden Jokowi.

“Kerajaan Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas peranan Joko Widodo dalam memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia.

“Kerajaan Malaysia juga komited untuk meneruskan kesinambungan hubungan rapat di antara kedua-dua negara di bawah pentadbiran baharu Prabowo Subianto, menurut kenyataan itu.

Menurut kementerian, lawatan itu melambangkan ikatan hubungan dua hala istimewa antara Malaysia dan Indonesia yang ditunjangi oleh kerjasama erat dalam pelbagai bidang yang berkepentingan bersama.

Pada 2023, Indonesia merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam ASEAN, dengan jumlah dagangan mencapai US$24.39 bilion (RM111.21 bilion).

Terdahulu, media melaporkan pelantikan Presiden Prabowo dan Naib Presiden Gibran akan berlangsung di Dewan Majelis Permusyawaratan Rakyat- MPR) Kompleks Parlimen pada jam 10 pagi waktu tempatan pada Ahad, 20 Oktober.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini