Oleh: Halim Mohamed
SEOUL: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat untuk melihat bagaimana Korea Selatan yang pada satu ketika dahulu mundur kini bangkit sebagai sebuah kuasa ekonomi dunia.
Menurut Anwar, Korea Selatan yang pernah terjebak dengan perang saudara tidak pernah mengalah malah bangkit dengan semangat tinggi untuk maju dalam segenap aspek.
Menurut beliau lagi, Malaysia sebagai negara yang akrab dengan Korea Selatan juga pernah menghulurkan bantuan kepada republik berkenaan sebelum ini.
“Rombongan dari Korea datang belajar tenting pembangunan dari Malaysia. Ini kenyataannya. Sebab itu, Presiden Korea tadi agak besar hati (menyatakan) tidak akan lupa jasa Malaysia di peringkat awal membantu mereka dalam keadaan parah, mundur selepas perang saudara sekian lama.”
Perdana Menteri berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Diaspora Malaysia di Korea Selatan yang diadakan di sebuah hotel di Seoul pada Isnin.
Pada majlis makan malam berkenaan yang dihadiri kira-kira 300 rakyat Malaysia, Anwar turut menekankan bagaimana budaya tempatan yang ada dalam kalangan rakyat Korea Selatan seperti ingin belajar tentang sains, teknologi serta pendidikan pembangunan perlu ditiru rakyat Malaysia.
Tambahnya, Malaysia juga perlu banyak belajar dari Korea Selatan untuk menjadi sebuah negara yang maju dengan menolak rasuah dan mengamalkan tatakelola yang baik dalam segenap aspek.
Anwar yang kini dalam lawatan rasmi tiga hari ke Korea Selatan turut mengadakan mesyuarat dua hala bersama Presiden Yoon Suk Yeol selain bertemu dengan ahli perniagaan dan syarikat terkemuka Korea siang tadi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.