comscore
Tumpuan :
Nasional

PM, Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan hadir taklimat prapersidangan Dewan Rakyat

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadiri sesi taklimat prapersidangan Dewan Rakyat bersama Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan di Kompleks Seri Perdana di sini.

Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil serta barisan Jemaah Menteri pada sesi perbincangan secara tertutup selama hampir dua jam, bermula 4.30 petang.

Berdasarkan takwim menerusi laman rasmi Parlimen, Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 akan bersidang selama 35 hari bermula esok hingga 12 Dis depan dengan tumpuan pada pembentangan Belanjawan 2025 bertemakan “Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera”.

Pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 itu akan berlangsung pada 4 petang, 18 Okt dan akan dibahas di peringkat dasar bermula 28 Okt hingga 5 Nov sebelum jawapan oleh menteri-menteri selama empat hari.

Persidangan Dewan Rakyat kemudian diteruskan dengan perbahasan rang undang-undang itu di peringkat jawatankuasa bermula 13 Nov hingga 3 Dis untuk diluluskan Dewan Rakyat.

Turut dijadualkan, sesi penerangan menteri mengenai isu GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang akan diadakan pada hari kedua persidangan Dewan Rakyat, Selasa ini.

Sementara itu, beberapa Rang Undang-Undang akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama antaranya Rang Undang-Undang Industri Perkhidmatan Air (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2024.– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini