Tumpuan :
Nasional

PM adakan lawatan rasmi ke Bangladesh esok

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adakan lawatan rasmi ke Bangladesh esok. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Bangladesh esok, atas jemputan Ketua Penasihat Kerajaan Interim Bangladesh, Dr Muhammad Yunus, yang juga tokoh hadiah Nobel 2006.

Ia bagi membincangkan hubungan dua hala Malaysia dan Bangladesh serta memperkukuhkan lagi persahabatan antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurut Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini, turut menyertai delegasi itu adalah Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

“Perdana Menteri juga dijangka mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Bangladesh, Mohammed Shahabuddin sebelum pulang ke Kuala Lumpur pada hari yang sama,” menurut Wisma Putra.

Pada 2023, terdapat 6,288 pelajar Bangladesh menuntut di institusi pengajian tinggi Malaysia dalam pelbagai bidang pengajian. Pekerja Bangladesh juga sekian lama menyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia.

Tahun lalu, Bangladesh rakan dagang ke-27 terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-19 terbesar dan sumber import ke-47 terbesar, selain rakan dagang kedua terbesar Malaysia di antara negara Asia Selatan.

Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Bangladesh setakat tahun lalu mencecah RM12.7 bilion, penurunan sebanyak 35.5 peratus berbanding RM19.69 bilion pada tahun sebelumnya.

Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, jumlah perdagangan meningkat kepada 18.1 peratus iaitu sebanyak RM8.27 bilion berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Imbangan dagangan yang memihak kepada Malaysia juga meningkat dalam tempoh yang sama kepada RM6.65 bilion.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini