KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Bhd (PLUS) merangkul Anugerah Perak bagi Kategori Strategi Pengurusan Krisis Terbaik pada Anugerah Perhubungan Awam 2023 anjuran Marketing-Interactive yang berlangsung di Singapura pada 27 April 2023.
Menerusi pencalonan projek ‘RFID Rollout Blowout!’, PLUS adalah antara enam finalis dari rantau ini termasuklah organisasi dari Amerika Syarikat (AS), Indonesia dan Singapura.
PLUS dalam satu kenyataan berkata, Pasukan Komunikasi Korporat telah merangka dan melaksanakan strategi pengurusan krisis bagi menangani isu-isu persepsi awam yang bangkit apabila sistem RFID dilaksanakan di Lebuhraya Utara-Selatan pada Januari 2022.
“Hasil daripada strategi pengurusan krisis itu, isu-isu awam yang berkait rapat dengan tanggapan serta persepsi terhadap pelaksanaan RFID telah dapat ditangani dan kini semakin ramai yang beralih kepada sistem RFID, seiring dengan hasrat kerajaan melaksanakan sistem ‘Multi-Lane Fast Flow’ (MLFF) pada masa yang akan datang,” katanya.