Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] PLKN wajar dihidupkan semula 

KUALA LUMPUR: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) perlu diwujudkan semula kerana ia dapat menyumbang kepada pembangunan sahsiah jati diri anak muda.

Sekaligus mengurangkan risiko penglibatan remaja di dalam aktiviti jenayah.

Menurut Pengerusi Persatuan Jurulatih Pusat Latihan Khidmat Negara, PLKN,  Mohd Shah Nurizal Mohd Khainudin, 41, inisiatif drastik untuk mewujudkan semula Program Latihan Khidmat Negara itu tepat pada waktunya.

Beliau yang mula menjadi jurulatih sejak tahun 2006 berkata, modul dan latihan PLKN bagaimanapun perlu diteliti agar selaras dengan generasi sekarang.

Tambahnya, kerajaan juga wajar mengambil semula bekas jurulatih yang lama kerana ianya dapat menjimatkan kos negara untuk melatih jurulatih baharu.

“Pengalaman, kemahiran dan kepakaran yang ada pada bekas jurulatih mengikut profiling pada Disember 2021, terdapat seramai 1545 kakitangan kontrak PLKN yang sedia ditempatkan semula berkhidmat,” ujarnya kepada Buletin TV3.

Penganalisis Jenayah, Kamal Affandi Hashim

Sementara itu, Penganalisis Jenayah, Kamal Affandi Hashim merasakan PLKN dapat mengurangkan risiko penglibatan remaja dalam kegiatan jenayah.

“PLKN adalah satu program yang amat berkesan di dalam membina masyarakat Madani khususnya dalam pembentukan generasi sahsiah akan datang.

“Saya menaruh harapan agar ia (PLKN) dipertimbang semula untuk dijadikan satu ketetapan Nasional walaupun ada beberapa modulnya perlu diperkemas.” katanya.

“Bagaimanapun kita harus akur bahawa ia melibatkan perbelanjaan yang besar. Namun beban kewangan ini mungkin dapat ditampung sebahagiannya oleh syarikat swasta melalui pengecualian cukai.

Ditanya mengenai isu kegiatan jenayah di kalangan remaja, Kamal percaya PLKN boleh membentuk generasi baharu yang lebih berdisiplin.

“PLKN bukan sahaja boleh membina perpaduan kaum tetapi juga mengurangkan risiko penglibatan remaja di dalam jenayah, penagihan dadah dan gejala sosial, ia juga mampu mengurangkan belanja mengurus sistem keadilan jenayah dan pengurusan masalah sosial.

“Objektif PLKN adalah bagi meningkatkan nilai patriotisme, memupuk semangat perpaduan, membentuk nilai-nilai murni, menyemarakkan semangat sukarelawan dan melahirkan generasi baru yang lebih cergas, cerdas dan penuh keyakinan diri.

PLKN adalah kursus latihan wajib selama tiga bulan di Pusat Latihan PLKN seluruh Malaysia.

Warganegara Malaysia yang terpilih wajib menyertai latihan ini sejurus tamat pendidikan sekolah menengah atau berumur 17 tahun ke atas.

Semalam Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul menyarankan agar PLKN yang dimansuhkan sejak 2018 dilaksanakan semula dengan lebih sempurna bersama kurikulum yang menjurus kepada pembinaan negara bangsa, bukannya politik kepartian.

Loading...
Terkini