Oleh: Nurul Amalina Zainudin
KUALA LUMPUR: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 akan ditambah baik menerusi beberapa aspek, antaranya model pengambilan pelatih dan tempoh latihan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata modul latihan juga dipertingkat dengan harapan kurikulum dan latihan ini dapat berkembang serta distrukturkan semula secara lebih ketara dengan 30 peratus latihan asas.
Jelasnya, berdasarkan tinjauan yang dijalankan Kementerian Pertahanan melibatkan 3,092 responden berusia antara 16 hingga 60 tahun, 89 peratus menyatakan persetujuan menjadikan modul latihan ketenteraan sebagai asas kepada latihan PLKN.
“Sejumlah 85 peratus daripada responden faham mengapa PLKN perlu dilaksanakan semula dan 87 peratus responden bersetuju dengan penambahan modul latihan,” ujarnya dalam sidang di Dewan Rakyat, hari ini.
Selain belia berusia 17 tahun ke atas, PLKN 3.0 ini juga telah meluaskan jangkauannya merangkumi pelajar tingkatan empat melibatkan fasa pra-PLKN.
Selain itu, PLKN 3.0 akan dilaksanakan di dalam kem askar wataniah selama enam minggu atau bersamaan 45 hari.
Tempoh percubaan PLKN 3.0 bakal bermula 12 Januari hingga 25 Februari tahun hadapan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.