comscore
Tumpuan :
Nasional

PLKN: Beri keutamaan kepada bekas jurulatih

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bekas jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) perlu diberikan keutamaan untuk diserap semula dalam pasukan kejurulatihan program itu.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Dr Adnan Mat berkata, ini bagi memastikan program yang bakal dilaksanakan semula itu, selepas dihentikan pada 2018, dapat dijalankan dengan lebih berkesan.

“Langkah ini juga dapat membantu kerajaan menjimatkan kos untuk memberi latihan semula kepada jurulatih kerana pengalaman terdahulu mereka ini dapat dimanfaatkan semula dengan acuan modul terkini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Adnan berkata bekas jurulatih PLKN masih mempunyai semangat untuk terus membimbing dan tidak mempunyai masalah untuk bertugas tanpa mengira waktu.

Menurutnya lagi, masih ramai bekas jurulatih yang tidak mempunyai pekerjaan tetap termasuk menganggur selepas PLKN dibubarkan sepenuhnya pada 2018.

“Peluang kedua ini sepatutnya diberikan kepada mereka memandangkan janji kerajaan untuk memberikan pekerjaan kepada mereka masih tidak tertunai sepenuhnya.

“Pengambilan semula bekas jurulatih terdahulu dapat membantu mereka meringankan masalah kewangan kerana ada dalam kalangan mereka yang tidak mampu menjelaskan pinjaman dengan institusi kewangan yang dibuat semasa bertugas dahulu,” katanya.

Dalam pada itu, Adnan berkata Cuepacs menyambut baik keputusan kerajaan untuk melaksanakan semula PLKN dan yakin pendekatan lebih berfokus mampu membentuk belia yang mempunyai jati diri unggul.

“Pelaksanaan semula program ini dengan beberapa penambahbaikan yang boleh menjimatkan perbelanjaan kerajaan juga amat dipuji dan selari dengan penekanan tatakelola dan urus tadbir yang baik seperti ditekankan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Pada 9 Oktober lalu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu Dewan Rakyat kerajaan akan meneruskan PLKN 3.0 dengan kaedah latihan yang berbeza termasuk memerlukan anak muda menjalani latihan di kem tentera.

| ARTIKEL BERKAITAN

 

Loading...
Terkini