![](https://media.buletintv3.my/2025/02/TEMPLATE-CMS-20-1024x538.jpg)
Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
KUALA LUMPUR: Individu yang terpilih menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 siri kedua dan seterusnya diwajibkan hadir kecuali mempunyai alasan munasabah dan memohon penangguhan.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Mejar Jeneral Datuk Ya’cob Samiran berkata, individu yang bekerja perlu mendapatkan kebenaran majikan.
Namun, jika majikan tidak membenarkan, mereka perlu memberi justifikasi, kerana program berkenaan terikat di bawah Akta Latihan Khidmat Negara.
“Jadi kalau sekiranya majikan tidak membenarkan itu mungkin proses lain yang kita laksanakan.
“Siri satu adalah (penyertaan) secara sukarela, untuk siri kedua dan seterusnya adalah mengikut kerahan bersyarat maknanya apabila seseorang itu dipanggil untuk menjalani latihan PLKN, mereka perlu hadir.
“Sekiranya mereka berhalangan ataupun mempunyai masalah tertentu, mereka perlu memohon untuk membuat penangguhan dan sebagainya.
“Ini termasuk mereka yang sedang bekerja, mereka juga perlu mendapat kebenaran daripada majikan mereka. Jika majikan mereka tidak beri pelepasan kepada bakal pelatih, majikan perlu beri justifikasi mengapa tidak memberi kebenaran,” katanya kepada media selepas program latihan menembak senjata ringan PLKN 3.0 2025 di Sungai Besi, hari ini.
![](https://media.buletintv3.my/2025/02/TEMPLATE-CMS-21-1024x538.jpg)
Mengulas lanjut berkenaan pemakaian celoreng tentera oleh pelatih PLKN, beliau berkata, pemakaiannya diamalkan di kebanyakan negara yang melaksanakan latihan khidmat negara.
“Pakaian ini kosnya lebih murah kerana sudah ada di dalam sistem, cumanya celoreng ini pelatih akan kembalikan semula selepas mereka tamat latihan dan tidak akan dibawa balik supaya siri akan datang semuanya dapat menggunakan pakaian celoreng yang sedia ada,” ujarnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.