
Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
KUALA LUMPUR: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 dijangka mampu melahirkan generasi muda yang berkeyakinan tinggi serta memenuhi aspirasi kerajaan dalam membentuk pemimpin masa depan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata kumpulan pertama pelatih program itu menunjukkan tahap keyakinan tinggi, sekali gus membuktikan keberkesanan modul yang dirangka dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan.
“Ini adalah kumpulan pertama insya-Allah apabila kita laksanakan secara menyeluruh tahun hadapan, apabila semua kem di semua negeri ada kem dan selepas itu diikuti dengan kem-kem agensi yang lain juga, seperti polis, bomba dan lain-lain untuk fasa kedua ini.
“Modul pun alhamdulillah, kita dapat bantuan daripada semua agensi daripada pelbagai kementerian, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Perpaduan dan terima kasih kepada agensi-agensi yang lain yang memberikan input dan hasilnya telahpun kita saksikan hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi dialog bersama pelatih PLKN 3.0 Siri 1 di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah di sini hari ini.
Beliau turut menegaskan kepentingan keseragaman kurikulum di semua kem bagi memastikan semua pelatih menerima latihan berkualiti tanpa mengira lokasi.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan satu sekretariat khas telah ditubuhkan di Parlimen bagi membantu Jawatankuasa Khas Keselamatan dalam memantau keberkesanan program berkenaan.
“Mungkin graduan PLKN 3.0 kita akan datang balik dan memberikan pandangan-pandangan mereka dan kita juga akan sentiasa berhubung dengan graduan kita, mana kita boleh tolong, mana kita boleh bantu mereka.
“Sebab semua graduan ini akan ada nombor siri dia, dia ada dia punya nombor badan.
“Nanti kita boleh jejak mereka, kita boleh kaunseling mereka (sekiranya diperlukan),” tambahnya.
Katanya, mengikut peruntukan undang-undang, setiap pelatih yang tamat program itu diwajibkan menyertai pasukan sukarela seperti RELA, Angkatan Pertahanan Awam (APM) atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meneruskan semangat kenegaraan yang diterapkan sepanjang latihan.
Program PLKN 3.0 dilancarkan semula dengan penambahbaikan bagi memastikan ia relevan dengan keperluan semasa, dengan modul yang dirangka berdasarkan input daripada pelbagai pihak termasuk kementerian, agensi kerajaan dan sektor swasta.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.