KUALA LUMPUR: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 hanya boleh dilaksanakan pada 2025 selepas semua proses libat urus dan kajian terperinci dijalankan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata program itu tidak dapat dilaksanakan tahun depan kerana tiada peruntukan untuk program terbabit dalam Belanjawan 2024.
Pada masa sama, Kementerian Pertahanan perlu menaik taraf terlebih dulu Kem Wataniah yang bakal menjadi lokasi program itu.
“Untuk itu, kita memerlukan usaha untuk menaik taraf 13 Kem Wataniah di seluruh negara terlebih dulu.
“Bagi perincian mekanisme pelaksanaan PLKN, ia hanya diketahui selepas kementerian merangkanya bersama pemegang taruh, terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat.
“Sebelum kita memuktamadkan program berkenaan ia perlu mendapatkan kelulusan Jemaah Menteri untuk menghidup atau meneruskannya,” katanya di Dewan Rakyat ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan bagi Kementerian Pertahanan, hari ini.
Sebelum ini, Jemaah Menteri bersetuju memperkenalkan semula pelaksanaan PLKN yang dimansuhkan pada 2018.
Mohamad dilapor berkata, PLKN akan diadakan dalam dua fasa yang mana Fasa Satu membabitkan pelajar Tingkatan Empat melalui silibus Kementerian Pendidikan (KPM) yang mengandungi silibus kokurikulum seperti kadet polis, bomba dan pengakap akan diperkasa.
Namun, pelajar Tingkatan Lima yang dikecualikan untuk menjalani latihan di Fasa Satu kerana perlu membuat persediaan untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan menyertai Fasa Dua di kem latihan tentera wataniah sedia ada.
| ARTIKEL BERKAITAN
- [VIDEO] Hanya remaja 17 tahun akan dipanggil jalani PLKN
- [VIDEO] Pelaksanaan semula PLKN: Wajar atau tidak?
- PLKN: Beri keutamaan kepada bekas jurulatih
- PLKN 3.0: Bekas jurulatih lebih faham, ada kepakaran kendali modul
- Pelaksanaan semula PLKN libat pelajar tingkatan 4 dan 5
- Tak usah fikir panjang, daftar sahaja PLKN – Alif Satar