Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) memfokuskan dua perkara iaitu Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 dan kerjasama awam dan tentera (CIMIC) sebagai langkah mewujudkan masyarakat yang patriotik dan menghargai keamanan serta kedaulatan.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata langkah itu bukan bersifat sampingan atau sisipan, namun ia perlu diberikan perhatian serius selaras dengan agenda pertahanan negara.
“Memandangkan kerajaan telah meluluskan sebanyak RM50 juta bagi tujuan penambahbaikan kem-kem wataniah serta pelaksanaan PLKN 3.0, saya seru agar kita memberikan perhatian serius dan memastikan program ini bukan sahaja berjalan lancar.
“Lebih penting, ia harus dipastikan mencapai dua matlamat besar yang akan menyokong pertahanan menyeluruh atau HANRUH.
“Pertama, PLKN 3.0 bertujuan melahirkan kumpulan masyarakat yang patriotik, yang hidup dengan mengamalkan nilai-nilai murni, mempunyai semangat perpaduan dan kerjasama serta membudayakan kesukarelawanan.
“Kedua, kita ingin gunakan PLKN 3.0 sebagai medium untuk menanam pemahaman dalam generasi muda tentang kepentingan pertahanan dan kedaulatan negara serta memahami akan cabaran-cabaran yang kita hadapi,” katanya pada Majlis Perutusan di Wisma Perwira ATM, di sini hari ini.
Mengulas mengenai CIMIC, beliau berkata ia merupakan salah satu bentuk sentuhan dan sumbangan kepada masyarakat.
Katanya, terdapat sekurang-kurangnya 10 komponen dan inisiatif yang akan dijayakan MINDEF pada tahun ini termasuk Program Jiwa Murni yang menekankan konsep gotong-royong dan usaha sama orang awam dan pasukan Kejuruteraan ATM.
“Penterjemahan kerjasama ini mesti disusun dan dilaksanakan melalui pelbagai sentuhan kemasyarakatan yang meluas, bermakna dan berupaya mengundang rasa senang dan sokongan masyarakat terhadap pasukan pertahanan negara.
“Untuk tahun 2025, kita telah menerima peruntukan sebanyak RM10 juta bagi menjayakan program-program di bawah CIMIC.
“Jumlah ini menyaksikan peningkatan sebanyak RM3,606,100 bersamaan dengan 36% berbanding peruntukan tahun 2024 (RM6,393,900),” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.