Oleh: Shuhadah Marzuki
PETALING JAYA: Pengambilan semula jurulatih yang pernah mengendalikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mampu memberi lebih impak positif program yang bakal dilaksanakan semula.
Cadangan dikemukakan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Adnan Mat itu disambut baik kalangan bekas jurulatih PLKN.
Menurut bekas jurulatih kem PLKN di Pasir Mas, Kelantan, Nik Farah Anum Abdullah, jurulatih sedia ada lebih memahami keperluan serta cabaran untuk mengendalikan program.
“Jurulatih sedia ada telah melalui latihan dan pengalaman dalam menjalankan PLKN sebelum ini.
“Mereka mempunyai pengetahuan dan kepakaran yang diperlukan dalam mengendalikan modul PLKN serta memahami keperluan dan cabaran yng mungkin dihadapi,” katanya kepada Buletin TV3.
Kata Nik Farah lagi, pengalaman juga menjadikan bekas jurulatih PLKN bersedia menyesuaikan diri dengan sebarang perubahan.
“Jika terdapat perubahan dalam PLKN seperti penambahbaikan dalam struktur atau kurikulum, jurulatih sedia ada akan lebih mudah menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut kerana mereka lebih mudah menyesuaikan diri dengan perubahan kerana jurulatih itu sudah mempunyai pengetahuan asas mengenai program,” jelasnya.
Bagi bekas jurulatih Kem PLKN di Maran, Pahang, Mohd Hardi Aferoz Mohd Fauzi, dengan mengambil bekas jurulatih PLKN dapat mengekalkan kualiti latihan sesuai dengan matlamat serta objektif program itu.
“Jurulatih perlu memahami bahawa PLKN bukan hanya tentang pembangunan kemahiran ketenteraan semata-mata, tetapi juga meliputi pembangunan insaniah peserta.
“Jurulatih perlu membawa kepada pemimpin tentang keperluan untuk memastikan bahawa program PLKN mempunyai kurikulum yang seimbang antara aspek ketenteraan dan pembangungan insanian,” jelasnya.
Terdahulu, Cuepacs mengemukakan cadangan menyerap semula bekas jurulatih untuk PLKN 3.0 susulan kebanyakan mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap sejak program itu dibubarkan pada 2018.
Langkah itu juga dapat membantu kerajaan menjimatkan kos untuk memberi latihan semula susulan pengalaman sedia ada bekas jurulatih.
| ARTIKEL BERKAITAN