KOTA KINABALU: Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong menjelaskan gambar plat kenderaan isteri Perdana Menteri seperti yang tular di media sosial bukan atas permintaan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Sebaliknya, ia sudah menjadi amalan kerajaan negeri untuk menyediakan kenderaan itu kepada tetamu kenamaan (VIP) semasa lawatan kerja dan lawatan rasmi ke Sabah.
“Saya mengambil perhatian bahawa pada hari ini gambar plat kenderaan isteri Perdana Menteri yang diambil di sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu telah tular di media sosial.
“Adalah menjadi amalan kerajaan negeri Sabah bertanggungjawab menyediakan kemudahan kenderaan bagi Perdana Menteri dan isteri, Timbalan-timbalan Perdana Menteri dan isteri serta yang melibatkan kehadiran tetamu-tetamu VIP ke Sabah semasa lawatan kerja dan lawatan rasmi, ” katanya .
Menurutnya, kemudahan kenderaan yang disediakan termasuk meletakkan plat kenderaan atas nama gelaran jawatan tetamu dan isteri yang menggunakan kenderaan berkenaan.
“Kerajaan negeri Sabah menyediakan kenderaan mengikut kesesuaian jadual perjalanan semasa berada di Kota Kinabalu”, katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu tular video dan gambar di media sosial yang memaparkan plat kenderaan Isteri YAB Perdana Menteri dan mendakwa Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengampu Perdana Menteri.