
Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
PUTRAJAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) bakal menggunakan sistem pengundian elektronik dengan elemen kecerdasan buatan (AI), menjadikannya parti pertama yang selari dengan perkembangan teknologi dalam pemilihan parti akan datang.
Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, berkata langkah itu bukan sahaja melancarkan proses pengundian, malah memastikan pemilihan berlangsung secara telus, adil, dan berintegriti.
“Sebelum ini, kemas kini keanggotaan dilakukan secara manual yang berisiko terhadap ralat manusia. Dengan pelaksanaan e-KYC, anggota perlu mengimbas kad pengenalan mereka bersama wajah menggunakan teknologi AI untuk mengesahkan identiti mereka sebagai anggota sah PKR.
“Selain itu, nombor telefon anggota juga boleh dikemas kini bagi menerima kod pengesahan (OTP) untuk tujuan pengundian. Proses ini termasuk kemas kini maklumat peribadi, pembayaran yuran, serta persiapan untuk pengundian,” katanya kepada Buletin TV3 dalam wawancara eksklusif.
Beliau menjelaskan bahawa sistem e-KYC ini telah digunakan secara meluas dalam sektor perbankan dan terbukti selamat bagi mengesahkan identiti seseorang serta mengelakkan manipulasi.
Menurutnya, Presiden PKR merangkap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, turut memberikan sokongan penuh terhadap inisiatif ini, yang mengukuhkan keyakinan parti untuk memperkasakan sistem pemilihannya.
Selain itu, ahli parti dapat menunaikan tanggungjawab berdemokrasi tanpa mengganggu kehidupan seharian kerana pengundian boleh dilakukan secara dalam talian.
Proses pemilihan PKR kali ini akan melalui tiga langkah utama: e-KYC, pendaftaran, dan pembayaran yuran. Pengundian peringkat cabang dijadualkan berlangsung pada April, manakala pemilihan peringkat Kongres Nasional pada Mei depan.
Ketika itu, anggota akan memilih pimpinan utama, termasuk Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Majlis Pimpinan Pusat, serta kepimpinan sayap Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK).
Fuziah turut menekankan bahawa sistem pemilihan itu akan menggunakan teknologi blockchain bagi memastikan keselamatan data dan ketelusan pengundian.
“Setiap pengundi akan diberikan satu ID yang dienkripsi, menjadikannya tidak boleh digodam atau ditiru. Teknologi blockchain ini memastikan sistem pemilihan lebih terjamin dan tidak boleh dipertikaikan,” katanya.
Beliau menambah, sistem digital itu juga bertujuan mengelakkan sebarang pertikaian dalam bilik pengundian, seperti isu daftar pemilih atau kebebasan petugas pemilihan.
Susulan itu, PKR mewajibkan pra-pendaftaran bagi memastikan semua anggota dapat mengundi tanpa sebarang gangguan.
Bagaimanapun, bagi anggota yang tidak mempunyai akses kepada telefon pintar atau internet, khususnya warga emas berusia 60 tahun ke atas dan mereka di kawasan pedalaman, pengundian secara manual tetap disediakan. Petugas khas dari ibu pejabat dan cabang akan membantu dengan akses internet khas bagi menjamin ketelusan serta ketepatan data.
Dalam tempoh empat hari pertama pelaksanaan sistem e-KYC dan pendaftaran, lebih 8,000 anggota berjaya mendaftar, membuktikan keberkesanan serta penerimaan positif sistem ini dalam kalangan ahli parti.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.