Oleh: Syafiqah Damanhuri
KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) dianggap sebagai parti politik yang matang, tidak akan teruskan amalan memunggah kekayaan demi kepentingan kepimpinannya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata idea penubuhan Koperasi Keadilan Berhad (KIRA) merupakan satu agenda ekonomi yang jelas dan perlu disokong oleh semua pemimpin PKR.
“Idea ini baik. Tapi saya anggap ini satu ujian besar. Parti ini sudah matang dan Alhamdulillah ditampuk kekuasaan.
“PKR tidak mahu meneruskan cara parti politik yang berkuasa menggunakan kuasa memunggah kekayaan untuk kepentingan pimpinan parti yang mereka pimpin.” Katanya dalam ucapan pada Majlis Makan Malam KIRA di sini.
Datuk Seri Anwar yang juga Presiden PKR berkata, penubuhan koperasi itu juga turut melibatkan ahli akar umbi.
“Sementara ekonomi berkembang apa kaedah dan cara terbaik menjamin penyertaan akar umbi dan juga menjamin supaya ada penyertaan bermakna. Kemudian ada habuan dan pulangan yang baik.
“Tentunya dengan memasyarakatkan dengan semangat rakyat pada awal. Ia menjadi tunggak dalam semangat tolong-menolong.
“Ini bukan sahaja dalam soal kehidupan tetapi juga dalam bidang ekonomi.” katanya.
Beliau turut menyatakan usaha itu satu permulaan baik untuk PKR.
“Sebab itu saya sangat tertarik untuk memberikan dokongan yang kuat.
“Walaupun hanya beri sokongan, saya tidak banyak sangat bantu sebelum ini. Sudah sampai ketikanya dalam Kongress PKR esok saya tidak fikir bahawa ada perwakilan atau pemerhati yang akan berani untuk tidak menjadi ahli koperasi.” Katanya.