comscore
Tumpuan :
Nasional

PKOB daerah diaktifkan hadapi Monsun Timur Laut


Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) mengarah semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah diaktifkan bagi tujuan pemantauan dan koordinasi pengurusan bencana untuk menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2023/2024.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) juga diminta untuk melaksanakan persediaan sewajarnya lebih awal bagi memastikan penyampaian bantuan ketika bencana berjalan lancar.

“Secara keseluruhan, seramai 61,839 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi kerajaan di semua peringkat berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya dengan sokongan pelbagai aset,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selasa lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataannya menjangkakan MTL 2023/2024 bermula pada 11 November ini sehingga Mac 2024.

Sepanjang tempoh tersebut, negara dijangka mengalami sebanyak empat hingga enam episod hujan lebat berterusan yang berpotensi mengakibatkan kejadian banjir khususnya di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak.

Untuk tempoh Februari hingga Mac 2024, dijangka negeri-negeri utara dan pantai timur Semenanjung, Sabah, utara Sarawak dan Labuan diramal mengalami kekurangan jumlah taburan hujan.

Mengulas lanjut, menurut Armizan, Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah mula beroperasi 24 jam setiap hari.

NDCC akan menyediakan notis serta merta kepada syarikat telekomunikasi untuk sebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) serta ‘flash broadcast’ secara bersasar kepada penduduk di kawasan yang berhadapan dengan risiko banjir setelah menerima amaran banjir daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

JPS telah mengenal pasti sebanyak 5,648 lokasi ‘hotspot’ banjir meliputi 161 daerah di seluruh negara.

Loading...
Terkini