Oleh: Fareez Azman
KUALA LUMPUR: Susulan laporan Buletin Utama hari ini mengenai realiti peniaga di Wisma Yakin yang terus teguh meneruskan perniagaan mereka meskipun berdepan pelbagai cabaran.
Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pula berharap agar bangunan bersejarah itu terus kekal relevan.
Dalam satu kenyataan media PKNS kepada TV3, Wisma Yakin perlu dijadikan pusat perniagaan dan budaya di ibu kota atas sejarahnya.
“Dengan lebih daripada empat dekad menjadi pusat tumpuan di Kuala Lumpur, Wisma Yakin memegang nilai sentimental dan sejarah yang tinggi kepada banyak pihak.
“PKNS berharap Wisma Yakin terus relevan, menjadikannya pusat perniagaan dan budaya dalam persekitaran perniagaan yang kian berkembang di Kuala Lumpur,” jelas PKNS.
Tambah PKNS, Wisma Yakin kini dikendalikan anak syarikat PKNS, PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) bagi operasi dan penyelenggaraan bangunan itu.
“Wisma Yakin, kompleks perniagaan dan pejabat yang dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) merupakan salah satu mercu tanda yang bersejarah di Kuala Lumpur.
“Terletak di tengah-tengah ibu kota, Wisma Yakin yang dibuka pada tahun 1976, dikendalikan oleh anak syarikat PKNS, PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) yang menguruskan operasi dan penyelenggaraan bangunan tersebut.
“Wisma Yakin menempatkan 90 lot kedai yang terdiri daripada penyewa dan pemilik persendirian yang telah lama menjadikannya pusat perniagaan utama, terutama bagi peniaga tekstil, busana tradisional, serta barangan perkahwinan dan aksesori,” jelas PKNS lagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.