comscore
Tumpuan :
Nasional

PKNPk henti pencerobohan berterusan di SVTP mengikut lunas undang-undang

Oleh: Kumaran Rajamoney

IPOH: Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) menghentikan pencerobohan di kawasan Silver Valley Technology Park (SVTP) di Kanthan, Chemor dekat sini, mengikut lunas undang-undang dalam usaha menjaga hak dan kepentingan semua pihak.

PKNPk dalam satu kenyataan memaklumkan, perbadananan itu mempertingkatkan kawalan keselamatan di SVTP yang berkeluasan 1,249 hektar, selari dengan statusnya sebagai zon perindustrian di bawah Rancangan Fizikal Negara (RFN) 4.

“Proses pemberhentian pencerobohan ini penting bagi menjaga keharmonian dalam pembangunan negeri sambil memelihara alam sekitar dan memastikan keadilan dalam penggunaan sumber tanah.”

“Walaubagaimanapun, sekiranya perlu penceroboh-penceroboh yang menjalankan pertanian boleh memohon kebenaran daripada pihak PKNPk untuk memasuki dan membawa keluar hasil tanaman yang sedia untuk dituai atau aset-aset milik penceroboh dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Jelasnya, tindakan menghalang pencerobohan dilaksanakan pada 29 Jun bagi memberikan fokus terhadap pembangunan projek SVTP yang dijangka bakal mewujudkan sebanyak 13,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Tindakan ini adalah susulan daripada beberapa sesi libat urus yang turut melibatkan penawaran tanah alternatif di Changkat Kinding yang telah digazetkan sebagai zon pertanian.

“Lokasi tanah ini adalah usaha yang dijalankan bersama antara PKNPk, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) dan Kerajaan Negeri Perak. Namun demikian, penceroboh enggan menerima tawaran PKNPk sehingga hari ini.

“Sekiranya penceroboh bersetuju untuk menandatangani perjanjian pajakan di tanah alternatif yang disediakan di Changkat Kinding, perjanjian tersebut akan didaftarkan bagi membolehkan mereka bebas melakukan aktiviti pertanian mereka sepanjang tempoh pajakan,” tambahnya.

Bagaimanapun, PKNPk mengulangi pendirian serta jaminan bahawa perbadanan itu sentiasa terbuka untuk berbincang dengan penceroboh-penceroboh yang terlibat dalam operasi ini untuk berpindah ke Changkat Kinding.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini