Tumpuan :
Nasional

PKKP pastikan pesara terima amaun pencen semasa – JPA

Foto Bernama

PUTRAJAYA: Bantuan Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) yang diumumkan kerajaan sebelum ini adalah inisiatif untuk memastikan pencen dan pencen terbitan diterima golongan sasar itu tidak berkurangan.

Keputusan kerajaan memberikan PKKP sebagai satu bentuk bantuan khas itu kepada pesara adalah susulan kepada keputusan mahkamah yang membatalkan penyelarasan kenaikan pencen tahunan sebanyak dua peratus.

Pengarah Bahagian Pencen Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Mohd Shaiful Ibrahim, berkata PKKP adalah satu bentuk pembayaran khas disebabkan perbezaan amaun pencen semasa dengan pencen asal susulan keputusan dibuat mahkamah itu.

Katanya, ia untuk menjadikan amaun diterima pesara pada Julai hingga Disember tahun ini, sama sepertimana amaun pencen semasa yang diterima.

Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan undang-undang pencen yang dipinda sebagai terbatal dan tidak sah, selepas menolak rayuan kerajaan untuk membatalkan keputusan itu.

Mohd Shaiful berkata, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2013 itu, pegawai awam yang bersara sebelum 2013, maka bayaran pencennya dikembalikan kepada amaun pencen asal pada Disember 2012.

Bagi pegawai awam yang bersara mulai tahun ini pula, katanya, bayaran pencennya dikembalikan kepada amaun pencen semasa bersara.

“Kerajaan telah memutuskan supaya pencen dan pencen terbitan dibayar dengan mengguna pakai amaun pencen asal dan ditambah dengan bantuan khas PKKP bagi Julai hingga Disember ini.

“Sebagai contoh, jika amaun pencen asal pesara pada Disember 2012 sebanyak RM1,413.49, namun dengan (pemberian) PKKP sebanyak RM343.94, pesara itu akan menerima RM1,757.43, iaitu jumlah sama diterima pada Jun 2023,” katanya kepada media sambil menambah kerajaan akur dengan keputusan dibuat mahkamah itu.

Mohd Shaiful berkata, inisiatif PKKP dilaksanakan untuk mengharmonikan keperluan kerajaan dalam menjaga kebajikan pesara, selain menghargai sumbangan golongan berkenaan semasa dalam perkhidmatan.

Beliau juga berkata, bantuan khas PKKP itu tidak memberi implikasi kepada kewangan negara, memandangkan jumlah itu telah diperuntukkan dalam Belanjawan 2023.

Pesara juga, katanya, tidak perlu membuat pembayaran balik kenaikan dua peratus yang sudah diberikan mulai tahun ini, kerana keputusan mahkamah menyatakan kerajaan tidak boleh mengutip balik penyelarasan pencen tahunan dua peratus yang telah dibayar sebelum ini.

Ditanya sama ada PKKP itu akan diteruskan untuk tahun hadapan, Mohd Shaiful berkata, ia akan dikaji dan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Semakan Semula Sistem Saraan Perkhidmatan Awam, yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

“Bagi penyelarasan pencen seterusnya, kajian akan dilaksanakan bersekali dengan cadangan semakan semula sistem saraan perkhidmatan awam bersama dengan Kementerian Kewangan, untuk melihat kesan kepada pesara,” katanya.

Menurutnya, kali terakhir penyelarasan pencen dibuat ialah pada 2012 iaitu antara tujuh hingga 13 peratus mengikut gred, dan kemudiannya diselaraskan oleh kerajaan ketika itu dengan memberikan kenaikan tahunan dua peratus tanpa perlu menunggu pelaksanaan semakan gaji.

“Terdapat sejumlah 874,842 pesara setakat 31 Disember 2022,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini