BUTTERWORTH: Sebuah kotak berbalut plastik hitam yang ditemui di persisiran Pantai Robina di sini, awal pagi tadi, mengandungi sepucuk pistol bersama kelopak peluru dan 67 butir peluru hidup di dalamnya.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, Balai Polis Telok Ayer Tawar menerima maklumat pada jam 4.30 pagi daripada seorang lelaki tempatan yang memancing di pantai itu berhubung penemuan kotak terbabit.
“Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota penyiasat dengan dibantu Unit Forensik dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, digerakkan ke lokasi untuk melakukan siasatan.
“Kotak itu didapati mengandungi sepucuk pistol berserta kelopak peluru dan peluru hidup yang kemudian dirampas untuk tindakan lanjut.
“Hasil pemeriksaan juga mendapati peluru hidup berkenaan dibalut dengan kertas majalah. Kesemuanya dianggarkan ada sebanyak 67 butir peluru pelbagai jenis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Hamzah berkata, suspek kejadian itu masih belum dapat dikenal pasti dan polis sedang berusaha untuk mengesannya.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited melumpuhkan mana-mana kumpulan atau individu yang terbabit aktiviti jenayah kekerasan yang boleh menjejaskan keselamatan dan keamanan negara.
“Masyarakat yang mempunyai maklumat berhubung sebarang aktiviti jenayah, boleh menyalurkannya melalui Hotline Bilik Gerakan Negeri, Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang (04-2221624) atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.