Tumpuan :
Nasional

Pintu tandas rosak, pelajar asing maut jatuh dari tingkat 33 apartmen

Foto hiasan

KAJANG: Pelajar perempuan warga asing ditemukan maut dipercayai terjatuh selepas tergelincir daripada tingkat 33 ketika mahu keluar melalui tingkap kerana pintu tandas rosak di sebuah apartmen, di sini, semalam.

Mangsa berusia 19 tahun yang juga pelajar di sebuah universiti awam ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah di koridor tingkat 12 oleh orang awam sebelum menghubungi pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.34 petang.

Menurutnya, pemeriksaan pihak perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan pasukan Forensik polis turut ke lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

“Mangsa dipercayai tergelincir daripada tingkat 33 dalam usaha untuk keluar melalui tingkap tandas kerana pintu tandas mengalami kerosakan sebelum mangsa terjatuh ke koridor tingkat 12 apartmen berkenaan.

“Hasil bedah siasat yang dilakukan di Hospital Serdang pada 10 pagi tadi mendapati punca kematian mangsa adalah pelbagai kecederaan akibat jatuh daripada tempat tinggi,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Naazron berkata, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh membantu siasatan lanjut

“Maklumat boleh disalurkan kepada Balai Polis berhampiran atau menghubungi Ketua Polis Balai Bandar Baru Bangi, ASP Mohd Nasri Tesnoh di talian 017-7102042,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini